Search This Blog

Jihad Lillahi Taala..

my post...

get this widget here

Monday, 5 March 2012

Syoknya Solat Dhuha!!!

TUESDAY, MARCH 6, 2012

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang...

Alhamdulillah, dengan izin Yang Esa, dapat juga saya meneruskan perjalanan dakwah ini. Kali ini, saya ingin kongsikan dengan sahabat-sahabat mengenai solat sunat dhuha. Solat sunat yang menjadi amalan Nabi s.a.w. tetapi dipandang enteng sebahagian daripada kita iaitu umat baginda.

Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : Allah telah berfirman:
“Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, niscaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.”(Riwayat Ahmad)
Hadis Qudsi ini menganjurkan kita mengerjakan Solat Dhuha yang mana antara faedahnya, Allah Ta’ala memberi jaminan akan melaksanakan segala keperluan-keperluan keduniaan manusia setiap hari.

Baru-baru ini, pada 2/3/2012 yang lalu, unit HEP di universiti saya telah menjalankan satu program iaitu ‘Perlancaran Pembudayaan Pembacaan Doa Mingguan’. Walaupun program ini dijalankan dalam masa yang agak singkat sekitar sejam sahaja, namun ia memberi satu motivasi buat diri saya. Pembacaan doa telah diketuai oleh Ketua Rektor universiti saya sendiri iaitu Prof. Dr. Hj. Khudzir bin Hj. Ismail . Dalam sesi ucapan daripada beliau, beliau banyak menekankan mengenai fadhilat dan kelebihan solat sunat dhuha.

Terdapat banyak hadith yang membicarakan mengenai kelebihan melakukan solat sunat dhuha. Antaranya:
Dalam riwayat Abu Hurairah katanya:
“Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :
“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan."

Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.”(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas”(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)


Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai se-penggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.

Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud :”Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehedakinya.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda bermaksud : ” Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,” (Riwayat At-Thabarani ).

Subhanallah, indah bukan... Solat sunat ini bukanlah membebankan kita sebenarnya. Yang penting ia sebagai salah satu wasilah untuk kita mendekatkan diri kepada Allah. Dalam novel Demi Dhuha yang pernah saya baca sebelum ini, ia membicarakan salah satu cara untuk kita memohon rezeki daripada Allah adalah dengan melalui perlaksanaan solat sunat dhuha. Subhanallah, betapa Allah itu Maha Pemurah kepada hamba-hambaNya.

Jadi, jika Nabi Muhammad yang maksum itu juga melaksanakannya, apatah lagi kita insan biasa ini.

Saya tidaklah kata untuk menegaskan solat sunat ini perlu dilakukan. Tetapi sebagai tanda kecintaan kita kepada Allah dan Rasulullah, apa salahnya jika kita melaksanakannya dengan penuh keikhlasan. Lagi pula, agama Islam itu kan tidak menyusahkan. Jadi, di mana sahaja kita boleh melakukannya selagi tempat itu bersih dari najis dan mudah untuk melaksanakannya.

Misalnya, seorang pelajar universiti boleh melaksanakannya sekiranya ada masa terluang dan tiada kelas di waktu pagi.

Seorang pekerja boleh melakukannya sekiranya tiada apa-apa yang dilakukan. Bukankah ia lebih baik daripada berbual kosong.

Terimbau kembali kenangan sewaktu di sekolah menengah dahulu. Kebiasaanya ramai pelajar akan berpuasa sunat pada hari isnin dan khamis. Jadi, sekiranya tiada perkara yang hendak dilakukan, ramai akan ke masjid sekolah untuk melaksanakan solat sunat ini ketika waktu rehat.

Kita tidak perlu mengambil masa yang lama. Hanya sekitar dalam 5-10 minit untuk melakukannya. Sebenarnya, Allah memberi kita bonus dalam menambah amalan kita yang akan dibawa ke perkampungan akhirat nanti. Tetapi, haruslah diingatkan. Melaksanakannya bukan kerana pujian manusia tetapi buatlah semata-mata ketaatan kepada Allah.


Saya tercuit hati dengan kata-kata Ketua Rektor tempoh hari. Beliau memesan, nak buat solat sunat dhuha, buatlah tetapi jangan tinggalkan solat subuh. Dahulukan yang wajib baru laksanakan yang sunat. Tambahan pula, solat sunat dhuha ini boleh dilakukan selepas terbit matahari sehingga sebelum matahari naik atas kepala (lebih kurang sebelum pukul 12 tengah hari).

Beliau turut memesan, dalam mengejar dunia jangan lupa akhirat, dalam mengejar akhirat jangan lupa dunia. Hakikatnya, kita hendakkan kedua-duanya. Dan dunia ini hanyalah sementara. Amalan yang kita laksanakan di dunia adalah sebagai bekalan kita di akhirat nanti.

Sekiranya terdapat sebarang kesalahan dalam perkongsian kali ini, mohon ditegur. Setiap yang baik itu datanganya dari Allah, setiap yang buruk itu datangnya dari diri saya sendiri, dan hakikatnya kedua-duanya datang dari Allah dan disandarkan ke atas diri sayang yang kerdil ini. Sebelum saya mengakhiri perkongsian kali ini, mari kita sama-sama renung kembali, bukankah rezeki yang kita perolehi itu datangnya dari Allah?

Hayatilah doa ini...


postie-media

~kita diciptakan Allah sebagai khalifah di muka bumi ini untuk mengimarahkannnya bukan merosakkannya~

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...